Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Kali ni saya kongsikan pengalaman 2h1M ke Air Terjun Berkelah.
Secara ringkasnya, Air Terjun Berkelah terletak di Pahang dan terdiri daripada 7 peringkat air terjun. Kawasan ini telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Lipur. Peringkat pertama air terjun berada di sekitar pintu masuk dan setiap peringkat berada semakin jauh kedalam hutan. Untuk sampai ke peringkat tertinggi masa sekitar 2 jam diperlukan (termasuk rehat dan bergambar). Dalam hal ini, anda perlu melalui trek yang sedikit curam, berbatu dan agak licin. Sedikit kesilapan boleh menyebabkan anda terjatuh.
Sekiranya anda ingin mendaki dan bermalam di puncak, disarankan untuk anda menggunakan khidmat 'tranfer' atau pakej yang ditawarkan oleh mana-mana Kelab. Ini kerana, kawasan parkir yang disediakan agak sunyi dan dikhuatiri kenderaan anda akan dipecah atau dicuri. Dalam hal ini, saya sendiri telah menggunakan pakej yang ditawarkan oleh kelab Mountain Adventure Group (MAG). Harga yang ditawarkan adalah serendah RM75 merangkumi makan, guide, t-shirt dan peralatan berkhemah.
Selain daripada mendaki ke puncak, anda juga boleh melakukan aktiviti riadah di air terjun sekitar pintu masuk. Dari jalan utama anda boleh memandu sendiri sekitar 5-10 minit dengan melalui jalan tanah dan berbatu.
Untuk makluman anda, Air Terjun Berkelah sangat cantik. Airnya jernih menghijau dan sejuk. Arus dan kedalaman pula berbeza mengikut peringkat air terjun. Semakin ke puncak udaranya semakin nyaman. Suhu malamnya pula boleh dikatakan agak sejuk. Sekiranya anda jenis yang tidak tahan sejuk, disarankan untuk anda membawa sehelai pakaian tebal, sweater atau windbreaker untuk keselesaan.
Seperti kelaziman trip saya, setiap lokasi mempunyai cerita yang berbeza. Tidak terkecuali trip ke Air Terjun Berkelah. Berkenalan dengan semua pendaki adalah satu kemestian. Sesungguhnya perkenalan itu indah, perpisahan itu menyakitkan.
Cara ke air Terjun Berkelah
Untuk ke air terjun Berkelah, anda boleh memandu menghala ke Kampung Gelugur, Gambang Pahang. Sekiranya anda menggunakan LPT anda boleh keluar di susur Sri Jaya (dari KL) dan susur Gambang sekiranya dari Kelantan dan Terengganu. Setibanya di Kampung Gelulur, anda sudah boleh berpandukan kepada papan tanda jalan ke "Hutan Lipur Berkelah". Dari masjid Kampung Gelugur ke simpang masuk Hutan Lipur Berkelah anda hanya perlu memandu sekitar 1 minit. Manakala, dari simpang utama ke kawasan parkir air terjun anda perlu memandu sekitar 5-10 minit dengan melalui jalan tanah dan berbatu.
Air Terjun Berkelah - Pengalaman ke air terjun ke-7
Reviewed by Lah Mohd
on
22:36:00
Rating:
No comments: