Pengalaman ke Air terjun Chemerong, Berembun & Langsir (CBL) - OhVacay.Com

Pengalaman ke Air terjun Chemerong, Berembun & Langsir (CBL)

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Kali ini saya kongsikan pengalaman 3H2M ke air terjun Chemerong, Berembun dan Langsir atau lebih dikenali sebagai CBL.

Air Terjun Chemerong
Air Terjun Chemerong

Secara ringkasnya, CBL terletak di hulu Dungun, Kuala Terengganu. Untuk kesini anda perlu memandu sekitar 30 minit dari bandar Al-Muktafi Billal Shah atau satu jam dari bandar Dungun. Kedudukannya yang jauh daripada bandar menjadikan kawasan ini masih terpelihara selain diwartakan sebagai kawasan hutan lipur.

Antara kemudahan yang disediakan di kawasan rekreasi hutan lipur ini ialah parkir, surau, kedai makan dan pondok/kerusi untuk aktiviti riadah. Dari segi harga makanan, harga yang ditawarkan agak berpatutan. Manakala, dari segi waktu operasi, mengikut pemerhatian saya kawasan ini ditutup di malam hari menjadikan kawasan parkirnya selamat sekiranya anda ingin memandu dan bermalam di sana.

Air Terjun Langsir
Air Terjun Langsir

Bagi anda yang ingin menawan CBL, kebiasaannya, masa sekitar 3H2M diperlukan memandangkan treknya agak panjang. Dalam hal ini, terdapat beberapa kawasan untuk bermalam seperti Kem Y dan Air Terjun Langsir. Mengikut pengalaman, untuk bermalam di Kem Y masa melebihi 6 jam diperlukan (termasuk berhenti rehat di beberapa kawasan check point sekitar 15-20 minit).

Dari Kem Y ke air terjun Langsir jaraknya lebih dekat iaitu sekitar 2-3 jam. Manakala, dari air terjun Langsir ke kawasan parkir jarak melebihi 6 jam berjalan (termasuk rehat di beberapa kawasan seperti Sg Bangan). Masa ini mungkin dapat disingkatkan sekiranya anda mempunyai stamina yang kuat.

Dari segi permukaan trek, mengikut pemerhatian saya boleh dikatakan 80-90% permukaan trek adalah mendaki. Jarang sekali anda akan berada di trek yang landai.

Air Terjun Lesung
Air Terjun Lesung

Dalam hal ini, pemandu arah dan permit diwajibkan. Dari segi prosedur untuk memohonya tidak dapat saya jelaskan secara terperinci memandangkan semuanya di urus oleh ketua kumpulan mendaki. Namun secara umumnya maklumat berkaitan permit boleh diperolehi di website Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

Note: Klik pautan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan scroll ke bawah ke bahagian 'Untuk Orang Awam' dan klik 'Cara mohon aktiviti hutan lipur)

Dari segi pengalaman, sejujurnya saya katakan, anda tidak akan menyesal. Ini kerana, meskipun treknya panjang, namun pemandangan yang ditawarkan cukup cantik dan menenangkan. Airnya yang jernih dan terpelihara menjadikan kawasan hutan lipur ini menyimpan keunikannya yang tersendiri.


Note:
1- Semua sampah perlu dibawa turun
2- Membuat ungun api adalah tidak dibenarkan.
3- Jaringan telefon agak terhad. Disarankan untuk anda menghubungi kelurga sebelum memasuki kawasan hutan lipur.

Pengalaman ke Air terjun Chemerong, Berembun & Langsir (CBL) Pengalaman ke Air terjun Chemerong, Berembun & Langsir (CBL) Reviewed by Lah Mohd on 00:45:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.